Thursday, October 29, 2009

Mustika Terima 330,000 Langganan!




Teks oleh Thani Hasbullah


KUALA LUMPUR, 29 OKTOBER 2009:
Pakej Mustika yang baru sahaja dilancarkan Mei lalu telah menerima 330,000 langganan dalam tempoh 4 bulan, melepasi sasaran asal iaitu 300,000.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, kejayaan pakej tersebut adalah kerana kandungannya yang bermutu serta promosi hebat diadakan sejak pelancarannya.

"Pada awalnya kami menjangkakan menerima langganan 300,000 sehingga Januari 2010. Tetapi, September lalu kami telah melepasi angka itu. Ia suatu perkembagan yang sangat positif. Kami percaya ia angka itu bakal mencecah 500,000 pada Januari ini," katanya yang ditemui baru-baru ini.

Astro kini mempunyai 2.65 juta pelanggan sebahagian besarnya adalah golongan Melayu. Menyedari perlunya bahan tontonan yang sesuai dan lebih menarik, Mustika telah diwujudkan. Pakej tersebut yang merangkamui 3 saluran iaitu Astro Citra (Saluran 131), Astro Warna (Saluran 132) dan B4U (Saluran 133) dijual dengan harga RM12.95 sebulan.

Astro telah membelanjakan hampir RM1 bilion bagi tujuan kandungannya. Daripada jumlah ini, RM300 juta dilaburkan bagi kandungan tempatan bagi menyediakan kandungan bermutu kepada pelanggannya.

"Melalui Astro Warna contohnya, ia menyiarkan program yang dilakonkan oleh pelakon komedi hebat tanah air seperti Afdlin Shauki, Saiful Apek, Nabil dan Harith Iskander. Ia termasuklah filem-filem komedi, sitkom, drama bersiri dan pelbagai lagi produk humor.

"Astro Citra pula boleh dianggap HBO versi Malaysia. Ia menampilkan filem-filem blockbuster tempatan dan Asia yang terbaru . Manakala B4U menjadi pusat kepada filem-filem hindi," katanya.